Tuesday, 20 December 2011

RM30 JUTA UNTUK SISWAZAH CEBURI BIDANG PERTANIAN

NAJIB Tun Razak memberi makan ikan talapia pada majlis pelancaran Kelab MyAgrosis Peringkat Kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia Siswazah di UiTM Kampus Kedah di Merbok.

SUNGAI PETANI 17 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta sebagai insentif untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian.
Beliau berkata, insentif berkenaan merupakan tambahan daripada peruntukan yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini untuk membangunkan sektor pertanian negara.
Selain itu, katanya, peruntukan baharu terbabit juga merupakan sokongan penuh kerajaan terhadap penubuhan Kelab Usahawan Tani atau MyAgrosis yang dilancarkan hari ini.
“Dalam usaha kerajaan untuk menyokong penuh Kelab Myagrosis mencapai matlamat, saya telah mencadangkan agar pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui agensinya iaitu FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), Agrobank dan Tekun Nasional bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan inisiatif meningkatkan pengeluaran pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Kelab MyAgrosis Peringkat Kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah di Merbok, dekat sini hari ini.
Hadir bersama ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Beliau berkata, peruntukan RM30 juta itu ialah tambahan RM10 juta bagi Inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Tani Agrobank sebagai pinjaman mudah, RM10 juta untuk dana khas daripada Tekun Nasional manakala RM10 juta lagi peruntukan kementerian bagi meningkatkan kemudahan pertanian.
Perdana Menteri berkata, negara amat memerlukan lulusan institut pengajian tinggi berkecimpung secara langsung dalam bidang keusahawanan tani.
Katanya, langkah tersebut bukan saja dapat melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara tetapi turut membantu mengurangkan defisit serta kebergantungan terhadap bekalan makanan import.
Sementara itu, Perdana Menteri melahirkan rasa yakin Kelab MyAgrosis akan mendapat sambutan memandangkan keahliannya kini telah mencapai 10,000 orang dan dijangka meningkat kepada 20,000 orang pada tahun depan.
“Fenomena ini boleh membentuk komuniti usahawan siswazah komersial yang lebih dinamik. Malah, saya yakin, mereka bijak mengenal pasti peluang-peluang dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sunday, 27 November 2011

PERTANIAN - CARA TINGKAT EKONOMI UMAT ISLAM

Perpaduan umat Islam ditagih agar segala perancangan ke arah meningkatkan ekonomi umat Islam berjaya.

Penduduk dunia pada masa ini berjumlah 6.6 bilion orang. Di negara kita sahaja di anggarkan mempunyai seramai 25 juta penduduk. Bagaimanapun pada akhir-akhir ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku mala petaka krisis makanan di benua dan negara tertentu. Faktor utama kejadian kekurangan makanan ini ialah kejadian bencana alam yang berterusan dan pertambahan penduduk dunia yang semakin meningkat. Banjir yang melanda Thailand baru-baru ini telah memberi kesan kepada pengeluaran beras dunia. Negara kita juga menerima kesan ekoran banjir besar itu akibat terpaksa bergantung kepada pengeluaran beras Thailand bagi menampung permintaan di negara kita.  

Fungsi pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, maka fungsi pertanian telah berubah. Daripada pertanian untuk sara diri ia bertukar menjadi pertanian untuk perniagaan. Apa yang nyata pertanian adalah perniagaan yang memberi peluang besar kepada umat Islam khususnya dalam pengeluaran makanan halal. Menurut sumber industri, pasaran makanan halal dunia bernilai 500 bilion USD hingga 2 trilion USD setahun yang melibatkan 1.8 bilion umat Islam. 

Dengan demikian bidang perniagaan dalam pertanian khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal membuka peluang pekerjaan dan keuntungan yang besar kepada pelabur dan pengusaha.

Betapa besar faedah makanan kepada manusia khususnya dalam pengeluaran makanan halal, maka Islam mengkategorikan bidang pertanian adalah Fardhu Kifayah. Dengan melaksanakan tuntutan fardhu kifayah ia bukan sahaja untuk kepentingan agama tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat.

Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) adalah satu langkah bijak selari dengan tuntutan fardu kifayah. Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai tanah pertanian yang subur dan sumber alam yang kaya untuk membekalkan bahan makanan dan minuman kepada penduduknya. Sumber-sumber ini bukan sahaja mencukupi untuk rakyat negara ini tetapi juga di eksport ke luar negara.

Menurut Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke- 9, menyatakan menjelang tahun 2010, Malaysia dijangka mengeksport hasil pertanian bernilai RM72 bilion setahun. Berdasarkan aktiviti pertanian adalah fardhu kifayah, maka sikap membazir atau membiarkan tanah tanpa diusahakan dalam keadaan kegawatan ekonomi perlu diubah. Sesungguhnya perbuatan sedemikian amat dimurkai Allah SWT kerana seolah-olah tidak mensyukuri nikmat yang diberikan. 

Nabi SAW telah menekankan di dalam sabdanya tentang betapa perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu sahaja. Sabda baginda yang mafhumnya: 

“ Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia mengerjakannya dengan bertani atau (jika dia tidak berupaya melakukannya) hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan janganlah dia menyewakannya (sekalipun) hanya sepertiga, seperempat dan makanan asasi”. 

(Hadith Riwayat Abu Daud) 

Berdasarkan hadith tersebut, jelas bahawa manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini sebagai tanda kesyukuran dengan memanfaatkan hasil ciptaan Allah untuk kebajikan manusia.

Jurnal Agrotani menyeru umat Islam supaya memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai sumber perniagaan kerana nyata memberi keuntungan, manfaat kepada manusia sejagat dan memperluaskan pengeluaran makanan halal dunia.




MENGANGKAT SEKTOR AGRO-MAKANAN & PEMBANGUNAN NEGARA


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Selamat datang ke blog rasmi Jurnal Agrotani.


Sektor Pertanian merupakan salah satu sektor penting yang mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana ia merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk dunia. Kebolehan sesebuah negara memajukan sektor pertanian di negaranya menunjukkan keupayaan negara tersebut membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyatnya. Oleh yang demikian, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda tidak meminggirkan pembangunan sektor pertanian di negara mereka, malahan ia dimajukan sebagai satu entiti perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan.

Malaysia merupakan negara pengimport makanan, bil imbangan dagangan makanan negara tidak pernah mencatatkan nilai lebihan, walaupun negara kita dirahmati dengan tanah yang subur, taburan hujan yang mencukupi serta iklim yang sesuai. Menyedari peluang dan potensi untuk membangunkan sektor ini, Jurnal Agrotani terpanggil untuk memberi sumbangan bagi membangunkan sektor pengeluaran makanan atau sektor agro-makanan agar ia berdaya saing dan boleh menyumbang kepada pendapatan negara. Usaha untuk mentransformasikan sektor ini merupakan satu cabaran yang amat besar memandangkan ia bukan sahaja melibatkan perubahan gaya pelaksanaan aktiviti pertanian daripada pendekatan tradisional kepada pengaplikasian teknologi terkini, malahan ia turut memerlukan anjakan minda masyarakat untuk meninggalkan stigma bahawa pertanian merupakan aktiviti yang mundur dan berkemahiran rendah.

Perubahan gaya dan minda sedia ada ini hanya akan berlaku apabila masyarakat berupaya mendapat maklumat dan informasi yang tepat mengenai kepentingan dan potensi sebenar sektor ini. Menyedari hakikat ini, Jurnal Agrotani berharap masyarakat dapat memperolehi maklumat mengenai pembangunan sektor pertanian melalui blog yang dibangunkan ini.

Adalah menjadi harapan Jurnal Agrotani agar laman ini menjadi salah satu sumber rujukan dan wadah utama dalam penyebaran maklumat serta informasi sektor agro-makanan kepada pihak berkepentingan dan mereka yang berminat.

Akhir kata, semoga laman web ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama, terutama dalam mengangkat martabat sektor agro-makanan dalam pembangunan negara.

Sekian terima Kasih.